Karnival pra-GP Joran mula esok
2012/03/02
AB RAHAMAN (empat dari kiri) menyerahkan cek kepada Abdullah sambil diperhatikan Mohd Mizal (kiri) dan Amirullah (kanan) di Pantai Kundor, Tanjung Kling, semalam. - Foto Amir Mamat
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Pantai Kundor, Datuk Ab Rahaman Ab Karim, berkata persiapan bagi menjayakan program tahunan itu membabitkan kerjasama pelbagai pihak termasuk jabatan serta agensi kerajaan serta masyarakat setempat.
Katanya, berbanding terdahulu, penganjuran kali ini dijangka lebih meriah dengan penyertaan semua masyarakat pelbagai kaum menerusi pelbagai aktiviti sampingan seperti sukan rakyat, bermula pagi esok serta Kenduri Rakyat peringkat Dewan Undangan Negeri (DUN) Pantai Kundor, pada malamnya.
Majlis Kenduri Rakyat bakal dimeriahkan dengan persembahan penyanyi Farawahida, Min Yasmin, Eindra (Idola Bintang Popular) serta Shiha (Mentor).
“Kami bersedia bersama Berita Harian, kerajaan negeri, Majlis Bandaraya Melaka Bersejarah (MBMB) dan penaja lain menganjurkan acara ini,” katanya selepas mesyuarat akhir Karnival pra-GP Joran Berita Harian 2012 di Kompleks JAPERUN Pantai Kundor, Tanjung Kling, di sini semalam.
Pada majlis itu, Persatuan Nelayan Pantai Puteri turut menerima sumbangan penganjur RM2,500 yang diterima Presidennya, Abdullah Yahya.
Hadir sama, Pengurus Projek Khas Berita Harian, Mohd Mizal Hasbullah; Ketua Biro Berita Harian Melaka, Amirullah Andi Nur; Penghulu DUN Pantai Kundor, Ismail Yaakob; Setiausaha JAPERUN, Badrin Abd Samad dan Eksekutif Kanan Projek Khas Berita Harian, Mohd Hazrul Rabu.
Ab Rahaman yang juga Timbalan Pengerusi Syarikat Air Melaka Berhad (SAMB) mengakui pihaknya sangat teruja apabila dipilih sekali lagi sebagai tuan rumah bagi acara berprestij itu dan berjanji akan melakukan yang terbaik bagi memastikan kelancaran program itu.
“Saya bersama pimpinan masyarakat, termasuk nelayan di Pantai Puteri ini, pasti memberikan kerjasama terbaik untuk kejayaan penganjuran Karnival pra-GP Joran 2012 anjuran Berita Harian ini.
“Pada masa sama, saya juga berharap jabatan serta agensi kerajaan seperti polis, MBMB, SWM Environment Sdn Bhd serta Jabatan Pertahanan Awam Malaysia (JPAM) dapat memberi komitmen terhadap tugas masing-masing seperti dibincangkan sebelum ini,” katanya.
Kaunter pendaftaran pra-GP Joran akan dibuka mulai jam 9 pagi esok sehingga 8 pagi lusa di lokasi pertandingan di Pantai Puteri.
Pertandingan menawarkan hadiah wang tunai keseluruhan RM46,500 dengan juara bakal menerima RM20,000; kedua RM10,000; ketiga RM5,000 dan keempat RM1,000 berserta hadiah iringan.
Pemenang kelima hingga ke-10 akan menerima RM500 serta pelbagai hadiah iringan, manakala pemenang tempat ke-11 hingga ke-20 (RM300) dan tempat ke-21 hingga 30 (RM200). Pemenang tempat ke-31 hingga ke-40 menerima hamper.
http://myredarowana.blogspot.com/
0 comments:
Post a Comment
my blood red arowana for sale