BUSU dengan tangkapan tenggiri 5 kilogram dengan menggunakan kaedah
menghanyutkan pelampung serta ikan temenung
YAN, daerah di Kedah tidak asing di kalangan kaki mengilat (casting) kerana keseronokan mengilat ikan tenggiri tatkala tiba pada musimnya pasti bot-bot pancing habis ditempah pemancing.
Kaedah tradisional seperti mengilat ikan temenung (kembung) di sekitar tuas (unjam) dikatakan paling berkesan untuk memikat spesies ikan itu (scomberomorus commerson) kerana mempunyai isi paling sedap menyamai ikan jenahak ini.
Tuas milik rakan Abang Atan disinggahi kami terlebih dulu untuk mengunjun umpan ‘apollo’ bagi mencari umpan temenung atau selar hidup untuk dijadikan umpan dengan kaedah menghanyut dan mengilat.
Entah macam mana pagi itu, tiada seekor pun terjerat dengan kaedah apollo kami walaupun gerombolan ikan terbabit kelihatan berlegar seperti akuarium di laut.
“Ini tak boleh jadi ini, mana depa pi semua seekor pun tak mau makan,” kata Abang Atan kepada kami yang risaukan kami berkemungkinan tiada umpan untuk memancing tenggiri nanti.
Tidak berlengah, Abang Atan menghidupkan enjin bot dan menuju ke tuas yang pertama dari tiga tuas yang dibangunkan beliau untuk menarik gerombolan tenggiri ‘berkampung’ dekat tuas itu.
Selepas bot diikat pada tiang buluh, aktiviti mengilat kami bermula. Masing-masing mencari kedudukan tempat untuk mengilat berumpankan ikan temenung yang disemat tiga mata kail bersaiz 3/0 dan perambut dawai 20 paun (lbs) kemudian dipadankan kekipas.
Zabidi duduk di belakang bot terlebih dulu menerima asakan pertama dari pemangsa yang mengejar ikan termenung yang dikarau laju melawan arah air berarus ke daratan.
Joran Venom Hybrid 10-25lb milik beliau menerima asakan tenggiri kira-kira 30 meter dari belakang bot. Kekili Penn Fierce 4000 yang diketatkan sistem regangan hampir 70 peratus dengan mudah membawa mangsa hingga ke birai bot.
Selepas ikan digancu dan hasil timbangan manual menunjukkan mangsa mencecah 3kg yang sekali gus memberi petanda bahawa tenggiri galak menyambar umpan kami selepas ini.
Sangkaan kami meleset apabila tenggiri yang diharapkan menyambar umpan temenung enggan membuka mulut selepas itu. Panjang tangan kami dibuatnya hingga lenguh membaling umpan di setiap penjuru unjam untuk memikat mangsa.
Ketika sedang menjamu selera mee segera berkuahkan ikan temenung, Busu yang sebelum itu mencuba teknik pelampung ikan termenung pasar yang disemat perambut dawai dan kemudian belon plastik diikat pada tali utama sepanjang enam depa lelaki dewasa dan dilepaskan kira-kira 50 meter di belakang bot tidak menunggu masa lama apabila disapa mangsa kedua.
Berdesit-desit kekili beliau mengeluarkan tali kerana apa yang dilihat penulis tarikan mangsa kali ini lebih kuat dari tenggiri pertama pada awal menyangkakan ikan aruan tasik.
Hampir 20 minit perlawanan tarik tali berlangsung, akhirnya kelibat tenggiri muncul di permukaan yang kemudian segera kemudian digancu Abang Mat sebelum ditimbang yang memcecah 5kg.
Sehingga jam 6 petang sebelum berangkat pulang, Abang Mat tetap tidak berputus asa dan menyarankan kami cuba menukar taktik memancing dasar untuk mencari ikan karang yang masih banyak di unjam ini.
Walau bagaimanapun rezeki kami setakat dua ekor, kami tetap bersyukur dan berkongsi hasil untuk dibawa pulang ke rumah untuk keluarga yang ingin merasai isi ikan yang enak dimasak asam pedas dan kari ini.
INFO
- Tuas atau unjam dibina dengan batang buluh dan kemudian diikat pelepah daun kelapa
- Fungsi tuas adalah menarik ikan kecil berkumpul di kawasan unjam untuk menarik ikan pemangsa.
- Jeti Sungai Udang dan Kuala Dulang, Yan menjadi lokasi pemancing menaiki bot.
- Sewa bot RM450 hingga RM500.
- Waktu sekarang dilaporkan tenggiri sedang galak memakan umpan.
- Air sedang pasang dikaitkan masa terbaik memancing tenggiri.
- Spesies geropoh (GT), belitung, talang dan alu-alu, jenahak, kerapu menghuni tuas ini.
- Hampir 100 tuas dilaporkan dibina nelayan tempatan dan mempunyai pemilik masing-masing
- Pelbagaikan kaedah memancing untuk memikat ikan tenggiri sama ada tradisional atau moden.
0 comments:
Post a Comment
my blood red arowana for sale