Putrajaya: Rangka ikan paus spesies Brydes sepanjang 12 meter dan bangkai dugong yang diawet, antara tarikan utama Pameran Pertanian, Hortikultur dan Agro Pelancongan Malaysia (MAHA International) 2012.

Ketua Pengarah Perikanan Malaysia, Datuk Ahamad Sabki Mahmood, berkata pameran di Taman Ekspo Pertanian Malaysia (MAEPS), Serdang, Selangor itu akan berlangsung selama 10 hari mulai Jumaat ini.
“Kita ada Laman Perikanan yang khusus bagi mempamerkan pelbagai spesies ikan hiasan termasuk kelisa atau arowana emas yang menjadi ikon kebanggaan Malaysia, penyu dan tuntong selain pelbagai spesies ikan tempatan seperti kelah, temoleh serta sebarau yang mempunyai nilai tinggi di pasaran tempatan mahupun antarabangsa.


“Selain itu, 75 usahawan perikanan akan mempamerkan pelbagai produk dan hasil inovasi masing-masing termasuk sistem penentuan lokasi ikan, penggunaan gas LPG dalam sistem enjin sangkut bot nelayan dan alat membersih sisik ikan.

“Acara kemuncak di Laman Perikanan ialah Cabaran Memancing MAHA International 2012 yang menawarkan hadiah keseluruhan RM48,933 anjuran bersama Jabatan Perikanan dan Unit Joran BH di Kolam MAEPS, Serdang, Selangor pada 2 Disember ini,” katanya pada sidang media sempena Majlis Promosi Laman Perikanan di pejabatnya, di sini semalam.

Turut hadir, Pengarang Eksekutif (Rencana BH) Zainor Said dan wakil penaja Adabi Consumer Industries Sdn Bhd (Adabi), Norol Liza Zainal Abidin, wakil Syarikat Zulkifli Bhamadhaj (Petani) serta Nestle Product Sdn Bhd (Nestle/Maggi).

Rangka ikan paus Brydes yang akan dipamerkan Laman Perikanan itu ditemui terdampar di Pantai Pulau Sayak, Sungai Petani, Kedah, pada Februari 2011. Ia didatangkan khas dari Pusat Penyu dan Ekosistem Marin (TUMEC) Rantau Abang, Terengganu, untuk dipertontonkan kepada pengunjung MAHA International 2012.