Che Marzuki (kiri) dan Sharizam (kanan) bersama  kereta yang dimenangi mereka. Turut kelihatan, Aminar dan Mahfar (dua dari kanan) di Rawang, semalam. 
 Che Marzuki (kiri) dan Sharizam (kanan) bersama kereta yang dimenangi mereka. Turut kelihatan, Aminar dan Mahfar (dua dari kanan) di Rawang, semalam.
Penyampaian hadiah penutup pertandingan GP Joran 2012

Rawang: Tahun ini membawa rezeki kepada dua kaki pancing yang menjuarai pertandingan memancing anjuran BH, GP Joran 2012 apabila masing-masing memenangi kereta PERODUA Viva Elite bernilai RM44,000.

Juara kategori laut dalam, Sharizam Abdul Hamid, 37, berkata 2012 membawa tuah kepadanya sebagai pemancing kerana memperoleh hadiah utama sebanyak dua kali.
“Pertengahan tahun, saya mendapat wang RM20,000 selepas dinobatkan juara pertandingan anjuran GP Joran yang diadakan di Perak.


“Hadiah Viva Elite ini pula saya anggap penutup tirai 2012 sepanjang pembabitan saya dalam aktiviti ini,” kata Sharizam.

Bagi juara kategori pantai, Che Marzuki Awang@Nordin, 49, pula berkata kereta yang diterimanya itu akan diserahkan kepada anak keduanya, Nor Najian, 21, untuk berulang-alik ke tempat kerja.

Batal hasrat jual kereta

“Mulanya saya berhasrat untuk menjual kereta ini, tapi selepas anak memujuk supaya membenarkannya menggunakannya untuk bekerja, saya batalkan niat itu.
“Sekurang-kurangnya, saya dapat lihat depan mata ‘hasil’ yang saya dapat daripada hobi memancing ini setiap hari,” katanya.

Hadiah disampaikan Pengarah Urusan PERODUA, Datuk Aminar Rashid Salleh di ibu pejabat PERODUA, semalam.

Majlis turut dihadiri Pengarah Eksekutif PERODUA, Zainal Abidin Ahmad; Timbalan Pengarang Kumpulan BH, Mahfar Ali dan Penolong Pengarang Joran, Nasir Abd Wahab.

Pupuk setiakawan

Dalam ucapannya, Aminar menyifatkan GP Joran sebagai pertandingan yang dapat memupuk semangat kesukanan, kesabaran, setiakawan dan harus diteruskan.
“Ia juga mampu merapatkan silaturahim,” kata beliau.

Sementara itu, Mahfar berkata, hadiah kereta tajaan PERODUA menjadi tarikan utama bagi kaki pancing yang menyertai pertandingan memancing berprestij ini.
“Ramai bertanya bila siri pertandingan seterusnya akan bermula dan apakah model PERODUA yang menanti juara.

“Diharapkan kerjasama PERODUA dan BH akan berterusan,” katanya.