AHMAD (kiri) bersama bersama Md Yusli (tiga dari kanan) dan Mior Kamarul (lima dari kiri) bergambar bersama juara kategori Pantai dan Laut pada Karnival GP Joran 2012, di Kuala Pahang, Pekan, Pahang, semalam. - Foto NSTP/Syarafiq Abd Samad AHMAD (kiri) bersama bersama Md Yusli (tiga dari kanan) dan Mior Kamarul (lima dari kiri) bergambar bersama juara kategori Pantai dan Laut pada Karnival GP Joran 2012, di Kuala Pahang, Pekan, Pahang, semalam. - Foto NSTP/Syarafiq Abd Samad
Pekan: Pentadbir Kolej Ekonomi Rumah Tangga (ERT) dari Setapak, Kuala Lumpur, Mat Irahim Selamat, 51, dinobatkan juara Pusingan Keempat GP Joran 2012 yang berakhir di Kuala Pahang, dekat sini semalam.

Hasil tangkapan tenggiri 9.64 kilogram (kg) membawa tuah buat Irahim yang berjaya membawa pulang wang tunai RM20,000 dan hadiah iringan daripada penaja.
Juara Kategori Pantai dimenangi Mohd Zaki Abdullah, 38, dari Terengganu dengan hasil tangkapan ebek/cermin seberat 6.105kg.

Beliau turut membawa pulang wang tunai RM20,000 dan hadiah iringan penaja.

Tempat kedua dan ketiga Kategori Laut dimenangi Mohd Adris Selamat, 60, dari Johor dan peserta Pahang, Mahmud Mohamad, 54, dengan tangkapan ebek/cermin, masing-masing seberat 5.5kg dan 5.48kg.

Mohd Adris dan Mahmud, masing-masing turut membawa pulang RM10,000 dan RM4,000 berserta hadiah iringan daripada penaja.

Sementara itu, gelaran naib johan dan pemenang ketiga Kategori Pantai diraih Mohd Sanusi Ismail, 39, dari Terengganu dan Fauzi Mohamed Ali, 44, dari Pahang, selepas masing-masing menaikkan pari seberat 4.28kg dan 0.845kg, sekali gus berjaya membawa pulang wang tunai RM10,000 dan RM4,000 berserta hadiah iringan.
Semua pemenang menerima hadiah daripada Ketua Penolong Pegawai Daerah Pekan, Md Yusli Ibrahim yang mewakili Pegawai Daerah Pekan, Datuk Mohd Fadzil Mohd Kenali.

Hadir sama, Pengarah Eksekutif Berita dan Operasi Editorial Media Prima Bhd, Datuk Ahmad A Talib serta Pengarang Kumpulan BH, Datuk Mior Kamarul Shahid.

Turut hadir Pengurus Besar Lembaga Kemajuan Ikan Malaysia (LKIM), Zamri Mohammad dan Penghulu Kuala Pahang, Hassan Mohd Shukur.

Ketika ditemui, Irahim berkata, tenggiri itu dinaikkan pada jam 10 malam kelmarin menggunakan umpan sesungut sotong mati.


Candat sotong sendiri


“Ikan terbabit melarikan umpan secara mengejut selepas joran dilabuhkan kira-kira 15 minit.

“Usaha saya mencandat sendiri sotong segar di Merchong, Pahang dua hari sebelum pertandingan untuk dijadikan umpan pada GP Joran sangat berbaloi,” katanya.

Karnival GP Joran di Kuala Pahang dianjurkan Unit Joran BH dengan kerjasama Pejabat Parlimen Pekan, Pejabat Tanah dan Daerah Pekan, LKIM Kuala Pahang dan Persatuan Nelayan Kawasan Kuala Pahang (PNKP).

Pusingan Grand Slam di Tanjung Leman, Mersing, Johor akan berlangsung 6 dan 7 Oktober ini.

Untuk laporan penuh aksi saingan di Kuala Pahang, dapatkan sisipan Joran dalam BH Jumaat ini.

Klik pautan untuk lihat galeri khas Pusingan Keempat GP Joran 2012 di http://bit.ly/TGF6Tn